Latest News

Kisah Tukang Kasut Ingin Mengerjakan Haji


Terdapat sebuah kisah mengenai seorang Ulama' Islam terkenal bernama Abdullah bin Mubarak yang telah bermimpi semasa beliau sedang tidur berhampiran Kaabah.Di dalam mimpinya, Abdullah bin Mubarak melihat dua malaikat turun dari langit, dan berbual antara satu sama lain.
Salah satu malaikat bertanya: "Adakah anda tahu berapa ramai orang yang telah datang untuk menunaikan Haji tahun ini?"Malaikat yang satu lagi menjawab: "Enam ratus ribu telah datang untuk menunaikan Haji."

Abdullah bin Mubarak juga telah pergi untuk menunaikan Haji pada tahun itu.

Malaikat yang pertama bertanya lagi: "Berapa ramai Hajinya yang telah diterima?"

Yang kedua menjawab: "Saya tertanya-tanya jika ada Haji sesiapa yang telah diterima."

Abdullah bin Mubarak berduka mendengar perkhabaran itu. Dia berfikir, "Begitu ramai orang telah datang dari seluruh dunia, menempuh pelbagai halangan seperti sungai-sungai, hutan, gunung, mengalami kesusahan yang begitu banyak, dan melibatkan perbelanjaan yang begitu banyak. Adakah usaha mereka akan menjadi sia-sia? Allah tidak akan membiarkan usaha sesiapa terbuang begitu sahaja".

Sedang beliau berfikir, beliau mendengar malaikat yang satu lagi berkata; "Terdapat seorang tukang kasut di Damsyik. Namanya Ali bin al-Mufiq, dia tidak dapat datang untuk mengerjakan Haji pada tahun ini tetapi Allah telah menerima hasratnya untuk mengerjakan Haji. Dia bukan sahaja mendapat ganjaran mengerjakan Haji tetapi disebabkan dia, semua umat Islam yang mengerjakan Haji akan diberi ganjaran.

Apabila Abdullah bin Mubarak terbangun daripada tidurnya, beliau memutuskan untuk pergi ke Damsyik dan berjumpa tukang kasut tersebut yang niat hajinya mempunyai nilai yang sungguh besar.

Apabila sampai di Damsyik, Abdullah bin Mubarak bertanya jika sesiapa tahu tukang kasut yang bernama Ali bin al-Mufiq. Orang-orang di bandar mengarahkannya pergi ke sebuah rumah. Apabila seorang lelaki muncul dari rumah tersebut, Abdullah bin Mubarak menegurnya dan bertanya namanya. Lelaki itu menjawab, "Ali bin al-Mufiq".

Abdullah bin Mubarak bertanya: "Apakah pekerjaanmu?"

Ali menjawab: "Saya seorang tukang kasut". Kemudian Ali bertanya pula nama orang asing yang telah datang mencarinya itu.

Abdullah bin Mubarak adalah seorang ulama Islam yang sangat terkenal, apabila Abdullah bin Mubarak memperkenalkan dirinya, tukang kasut itu cemas dan tertanya-tanya mengapa seorang ulama yang terkenal telah datang mencarinya.

Apabila Abdullah bin Mubarak meminta Ali untuk memberitahunya jika dia ada membuat sebarang rancangan untuk pergi menunaikan Haji, Ali menjawab; "Selama tiga puluh tahun saya hidup dengan harapan dapat menunaikan Haji. Tahun ini simpanan saya telah cukup untuk pergi menunaikan Haji tetapi Allah tidak mengizinkannya, jadi saya tidak boleh menterjemahkan niat saya itu menjadi realiti.

Abdullah bin Mubarak tidak sabar-sabar untuk mengetahui bagaimana Haji lelaki tersebut boleh diterima dan disebabkannya, ibadah Haji semua umat Islam diterima dan diberkati Allah sedangkan lelaki tersebut langsung tidak mengerjakan hajinya tahun itu. Apabila berbual-bual dengan tukang kasut itu, beliau dapat merasakan ketulusan dalam hatinya. Islam tidak memandang kepada kekayaan atau kekuasaan tetapi pada kesopanan, akhlak yang baik dan kebaikan hati seseorang.

Abdullah bin Mubarak bertanya lagi; "Mengapa kamu tidak boleh pergi menunaikan Haji?". Ali sekali lagi menjawab dengan berhati-hati, "Ianya adalah kehendak Allah swt".

Apabila Abdullah bin Mubarak berterusan bertanya, Ali mendedahkan; "Suatu hari, saya telah pergi ke rumah jiran saya. Keluarganya sedang duduk berkumpul untuk makan malam. Walaupun saya tidak lapar, saya berfikir sebagai tanda hormat mungkin jiran saya akan menjemput saya duduk bersama untuk makan malam. Tetapi saya lihat jiran saya sedang berdukacita tentang sesuatu dan seolah-olah mengelak menjemput saya untuk makan malam.

Selepas teragak-agak seketika, jiran memberitahu saya: "Saya minta maaf kerana tidak dapat menjemput kamu untuk makan bersama. Kami telah terputus makanan selama tiga hari. Saya tidak tahan melihat anak-anak saya menahan kelaparan jadi saya telah keluar mencari makanan dan terjumpa seekor keldai yang telah mati. Dalam keadaan saya yang terdesak, saya memotong beberapa bahagian daging daripada haiwan yang mati itu, dan membawanya pulang ke rumah supaya isteri saya boleh memasak daging tersebut. Ia adalah halal untuk kami disebabkan keadaan kami yang sangat kelaparan dan terdesak tetapi saya tidak boleh menawarkan kepada kamu".

Ali menyambung; "Apabila mendengar ceritanya, saya berasa amat sedih lalu saya bangun dan pulang ke rumah dan mengambil wang 3000 dinar yang telah saya kumpul untuk mengerjakan ibadah Haji dan memberikannya kepada jiran saya. Saya juga terpaksa berlapar tetapi itu adalah wang untuk menunaikan Haji. Saya fikir membantu jiran saya pada masa yang sukar adalah lebih penting walaupun saya masih berkeinginan untuk pergi menunaikan ibadah Haji dengan izin Allah. "

Abdullah bin Mubarak sangat terkesan dengan cerita tukang kasut itu dan menceritakan mimpi yang telah dialaminya kepada tukang kasut tersebut.

Allah itu Maha Penyayang dan amat sayangkan orang-orang yang berbuat baik kepada makhluk-Nya. Sifat kasih sayang dan belas kasihan yang ditunjukkan oleh tukang kasut tersebut sangat disukai oleh Allah. Perbuatannya itu bukan sahaja melayakkannya memperoleh pahala Haji tetapi telah diperluaskan kepada semua orang yang datang untuk menunaikan Haji.

Haji adalah satu perjalanan yang boleh menyuluh jiwa manusia mengingati masa ianya dicipta yang menjangkaui dimensi kehidupan ini sehingga jiwa tersebut akan bertemu dengan pencipta-Nya.

Keikhlasan seseorang mengerjakan ibadah Haji boleh membangkitkan spiritualnya ke tempat yang lebih tinggi. Haji yang mabrur dapat menghubungkan manusia kepada Pencipta dan mewujudkan rasa kasih sayang dan belas kasihan sesama manusia.

No comments:

Post a Comment

Media Maya Designed by Templateism.com Copyright © 2014

Theme images by Bim. Powered by Blogger.