Gambar hiasan |
Operasi selama lima jam bermula jam 12 tengah malam yang disertai 30 anggota imigresen membuat pemeriksaan ke atas 87 warga asing membabitkan warga Myanmar, Indonesia, Bangladesh, India dan Kemboja di tujuh lokasi berasingan sekitar daerah ini.
Daripada jumlah itu, 25 pendatang asing tanpa izin (Pati) berusia antara 20 dan 47 tahun diberkas kerana didapati melakukan pelbagai kesalahan imigresen.
Wanita terbabit mendakwa dia melarikan diri daripada majikannya warga tempatan selepas dirinya cuba dicabul ketika bekerja di rumah majikannya.
Difahamkan, wanita terbabit hanya sempat bekerja di situ selama sebulan sebelum melarikan diri tanpa membawa sebarang dokumen pengenalan diri.
Timbalan Ketua Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Kedah Aidil Safri Adnan berkata, wanita terbabit dikesan menumpang di rumah seorang penduduk tempatan semasa pemeriksaan dilakukan jam 3 pagi.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati wanita Indonesia itu tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Katanya, sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali dan sebatan tidak melebihi enam sebatan.
Aidil Safri berkata, tiga lelaki dan seorang wanita Indonesia, sembilan lelaki Myanmar, seorang lelaki India dan seorang lelaki warga Bangladesh dikesan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah, manakala tujuh lelaki dan seorang wanita Indonesia didapati menetap lebih masa dalam negara mengikut Seksyen 15(1)(c), akta sama.
“Kita juga menahan seorang wanita Indonesia mengikut Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas dan seorang lelaki warga Indonesia ditahan mengikut Seksyen 56(1)(d) kerana memberi perlindungan kepada warga asing.
“Sementara itu, dalam operasi berasingan, seramai enam lelaki warga Nepal ditahan dalam operasi yang diadakan di dua pasar raya di Sungai Petani petang kelmarin,” katanya.
Beliau berkata, semua lelaki berkenaan dipercayai bekerja sebagai pengawal keselamatan di dua premis perniagaan itu antara dua bulan hingga dua tahun dengan menerima gaji kira-kira RM1,400 sebulan.
“Hasil pemeriksaan mendapati keenam lelaki Nepal berusia antara 20-an hingga 40-an itu tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah.
“Semua Pati yang ditahan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Juru di Pulau Pinang atau Langkap di Perak untuk siasatan lanjut.
No comments:
Post a Comment