Latest News

Kisah wanita jadi hamba di UK didedah keluarga di Malaysia

Aishah disifatkan sebagai seorang yang pintar dan mendapat biasiswa Komanwel untuk melanjutkan pengajian dalam bidang juruukur bahan di London.
PETALING JAYA: Sebuah keluarga dari Malaysia mengesahkan bahawa wanita yang didakwa menjadi hamba selama 30 tahun di London adalah ahli keluarga mereka yang hilang selepas menyertai kumpulan Maoist di sana.

Pesara guru, Kamar Mautum berkata, beliau yakin kakanya, Aishah, 69, adalah wanita Malaysia yang ditahan oleh pemimpin kumpulan Komunis pada 1970 sejak 30 tahun lalu.

Katanya, seluruh keluarga bersedih di atas kehilangan Aishah.

Aishah belajar di salah sebuah sekolah paling elit di Malaysia dan mendapat biasiswa Komanwel untuk menyambung pengajian dalam bidang juruukur bahan di London.

Dia berhijrah ke Britain pada 1968 dengan tunangnya dan berhasrat mencapai cita-citanya demi keluarga tetapi kemudiannya terlibat dengan kegiatan politik melampau sehingga dia sanggup melupakan segala-galanya untuk mengikut fahaman Maoist.

Aishah terpengaruh dengan Aravindan Balakrishnan dan rakannya, Chanda, yang ditahan minggu lalu atas dakwaan mengurung tiga wanita tanpa kerelaan mereka melebihi tiga dekad di selatan London.

Bercakap kepada The Daily Telegrah di rumah mereka, Kamar berkata, ibunya memberikan wasiat supaya menjejaki apa yang berlaku kepada anak perempuannya yang tidak pernah pulang itu.

Kamar Mautum menunjukkan gambar Aishah yang hilang
sejak 30 tahun lalu.
"Saya sangat sedih tanpanya di sini sejak bertahun lamanya. Dia sangat berbakat, dia juga menjadi buah hati kepada ibu saya. Ibu selalu menyebut namanya sebelum meninggal dunia.

"Apabila ibu saya meninggal, dia (Aishah) tidak mahu bercakap dengan kami dan saya tidak boleh berbuat apa-apa," katanya kepada akhbar British itu.

Kamar berkata Aishah mempunyai masa depan yang cerah selepas mencatatkan keputusan cemerlang di sebuah sekolah swasta terkemuka.

Menurutnya, bapa mereka, yang juga seorang inspektor sekolah dan pemilik tanah, memberikan penekanan agama Islam yang kuat kepada anak-anaknya tetapi Aishah telah tersasar jauh.

"Ini merupakan detik-detik hitam baginya dan juga buat kami semua. Saya sanggup melakukan apa saja untuk membawanya pulang. Saya ingin bertemu dengannya sebelum ada di antara kami meninggal dunia," katanya.

Pada Jumaat lalu, tiga wanita termasuk seorang warga Malaysia diselamatkan daripada menjadi hamba domestik selama lebih 30 tahun oleh pihak berkuasa Britain di sebuah rumah di selatan ibu negara ini.

Menurut polis, mereka tidak percaya bahawa mangsa yang masing-masing seorang rakyat Malaysia berusia 69 tahun, warga Ireland berusia 57 dan seorang rakyat Britain berusia 30 mempunyai kaitan dan tiada bukti berlakunya penderaan seksual ke atas mangsa.

Polis menambah, dua suspek iaitu seorang lelaki dan wanita masing-masing berusia 67 tahun ditahan di rumah mereka dan menyifatkannya sebagai kes terburuk perhambaan yang pernah berlaku di London.

No comments:

Post a Comment

Media Maya Designed by Templateism.com Copyright © 2014

Theme images by Bim. Powered by Blogger.