Faisal Tehrani bersama novelnya 'Perempuan Nan Bercinta' yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, tahun lalu. - Foto ihsan The Malaysian Insider |
Faisal atau nama sebenarnya Mohd Faizal Musa bagaimanapun berkata, beliau masih tidak dimaklumkan berhubung perkara itu dan masih melihat novelnya itu dijual di rak buku sehingga minggu lalu.
"Sekiranya khabar ini benar, saya gembira kerana telah mencipta dua kali sejarah yang tidak dilakukan oleh mana-mana pengarang hatta sasterawan negara sekalipun.
“Hanya novel Pak Sako (dilarang British) dan buku ilmiah Pendita Za'ba pernah diharamkan pihak berkuasa agama Perak satu masa dahulu. Kedua-duanya adalah ikon saya," katanya yang dipetik Malaysiakini, hari ini.
Perempuan Nan Bercinta merupakan novel kedua Faisal yang diharamkan selepas Novel Sebongkah Batu di Kuala Berang pada 2011, yang dipercayai novel tempatan pertama diharamkan selepas merdeka di negara ini.
Bagaimanapun langkah itu tidak membuatkan Faisal patah semangat.
Katanya, beliau akan menghubungi Front Line Defenders (FLD), sebuah badan hak asasi manusia berpengaruh yang berdaftar dengan 'Special Rapporteur on the situation of human rights defenders', Pertubuhan Bangsa-bangsa bersatu (PBB) untuk mendapat nasihat lanjut.
Beliau juga tidak akan berhenti dari mengeluarkan nukilan ilmiah atau novel pada masa hadapan.
"Saya baru sahaja selesai menulis sebuah makalah ilmiah yang panjang berjudul 'The Malaysian Shi‘a: A Preliminary Study of Their History, Oppression, and Denied Rights'. Ia bakal diterbitkan di sebuah jurnal antarabangsa," kata beliau.
Sementara itu, Penolong Pengarah Seksyen Akidah Jakim Mohd Aizam Mas'od dilaporkan MyMetro kelmarin sebagai berkata, berlaku penyusupan idea ajaran Syiah melalui novel Perempuan Nan Bercinta.
"Ini sangat bahaya kerana penulisannya mempromosikan Syiah dan mutaah, antara hujahnya adalah mutaah bukan bertujuan seks tetapi menghalalkan pergaulan antara lelaki dan wanita... malah penulis juga bermain dengan pemikiran rasional orang ramai.
"Namun, buku ini sudah diperakukan haram oleh Jakim,” beliau dipetik sebagai berkata.
Perempuan Nan Bercinta mengisahkan pengalaman Dr Tengku Idora, seorang feminis yang berkenalan dengan Prof Dr Ali Taqi menerusi Bastian, kekasihnya.
Perkenalan itu membantu perubahan tanggapan Tengku Idora daripada seorang feminis melulu kepada feminis yang bersandarkan ketokohan anak perempuan Rasulullah Saidatina Fatimah az-Zahra.
No comments:
Post a Comment