Latest News

Pengundi Bangla: Penyokong Anwar 'terbodoh' seketika

KUALA LUMPUR 20 Nov. - Penafian Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung tuduhan kerajaan membawa masuk sebanyak 40,000 pengundi warga asing dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dilihat sebagai tindakan pelik dan jelas membohongi rakyat.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, pembangkang sejak sebelum pilihan raya umum itu lagi berkali-kali mendakwa kerajaan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) membawa masuk kira-kira 40,000 pengundi dari luar walaupun perkara tersebut telah dinafikan SPR.

Malah, jelasnya, SPR sendiri mempunyai segala rekod termasuk rakaman video tentang kenyataan Anwar berhubung kemasukan pengundi hantu dari luar menggunakan pesawat Malaysia Airlines System Bhd. (MAS) dan AirAsia Berhad (Air Asia).

"Saya cukup pelik apabila ada orang yang sanggup menafikan perkara yang pernah disebut apatah lagi perkara itu diulang-ulang walaupun telah dinafikan kami dan kerajaan.

"Malah, hasil 'bedah siasat' Pilihan Raya Umum Ke-13 yang dilakukan SPR, tidak ada satu pun aduan yang diterima daripada pengurus negeri mahupun petugas tentang cubaan pengundi hantu mengundi dan ini jelas menunjukkan tuduhan itu adalah fitnah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Anwar di Parlimen hari ini menafikan pembangkang pernah membuat tuduhan kerajaan membawa masuk sebanyak 40,000 warga Bangladesh untuk mengundi dalam pilihan raya umum lalu.

Sebaliknya, Anwar menuding jari kepada penulis pro-UMNO kononnya memanipulasi isu itu.

Anwar berkata, pembangkang tidak pernah menuduh kerajaan membawa sebanyak 40,000 warga Bangladesh tersebut sebaliknya hanya menyentuh tentang dakwaan membawa pengundi dari luar pada hari membuang undi awal.

Ditanya mengenai tindakan undang-undang berhubung penyebaran fitnah itu, Abdul Aziz memberitahu, perkara tersebut terletak di tangan Peguam Negara memandangkan SPR sudah membuat laporan polis.

"Kita sudah membuat laporan polis tentang pelbagai fitnah termasuk isu pengundi hantu dan Black Out dan kini perkara itu bergantung kepada hasil siasatan pihak polis.

"Mungkin polis sudah menyerahkan hasil siasatan kepada Peguam Negara. Apa pun kita di SPR tidak boleh berbuat apa-apa dan kita hanya menunggu," katanya.

No comments:

Post a Comment

Media Maya Designed by Templateism.com Copyright © 2014

Theme images by Bim. Powered by Blogger.