Latest News

'Jangan tergoda senyuman racun UMNO' - Mat Sabu

Timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu meminta ahli parti itu agar tidak tergoda dengan 'senyuman' yang diberikan oleh Umno.

Sebaliknya, Mohamad mengingatkan pemimpin pelapisnya mengenai pengkhianatan yang dilakukan tatkala ia bekerjasama dengan PAS satu masa lalu.

"Jangan tergoda senyuman Umno, senyuman beracun dan berbisa"

"Umno bila kuat menindas kita, bila lemah baru mengenyit mata," katanya ketika merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPM) di Dewan Sivik MBPJ malam ini.

Mohamad menyatakan sebaliknya perlu untuk meneruskan tahalul siyasi (kerjasama politik) dengan Pakatan Rakyat yang dilihat sebagai bakal kerajaan akan datang.

"Mengenyit mata ku tak balas, melampai tangan, ku tepis tangan itu," ujar beliau diiringi dengan deraian tawa hadirin.

Pertahan alam sekitar

Sementara itu, Mohamad juga mahu PAS ke depan dalam memperjuangkan isu semasa seperti pencemaran alam bagi menangkis stigma parti tersebut yang menjurus pada perjuangan agama semata.

Beliau memberi contoh kumpulan pencinta alam antarabangsa 'Greenpeace' dan Kaum Tionghua yang sanggup bermatian dan bersusah payah mempertahankan alam sekitar.

"Kita lihat siapa yang ke depan dalam isu seperti Lynas dan Bukit Merah. Sepatutnya PAS yang menjuarai isu tersebut kerana menjaga alam dari dirosakkan merupakan kewajipan dalam Islam," katanya.

Tingkat kerjasama Pemuda Pakatan

Sebelum itu Mantan ketua pemuda PAS Nasrudin Hasan menegaskan perlunya peningkatan kerjasama pembangkang khususnya membabitkan sayap pemuda Pakatan Rakyat.

Menurutnya, kerjasama masih dilihat dilihat goyah dan tidak sehaluan hingga boleh menjejaskan hubungan antara parti komponen pembangkang tersebut.

"Sehingga setakat hari ini, pemuda Pakatan Rakyat masih belum dilihat sederap dan selangkah walaupun menghayun kaki dan tangan bergerak ke arah yang sama," katanya dalam ucaptama terakhir beliau.

No comments:

Post a Comment

Media Maya Designed by Templateism.com Copyright © 2014

Theme images by Bim. Powered by Blogger.