Latest News

Rogol: Remaja menggigil dalam mahkamah

Gambar hiasan
Seorang remaja menggigil ketakutan semasa dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan merogol seorang gadis berusia 13 tahun tahun lepas.

Ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Emilia Kaswati Mohamad Khalid, dia hanya mengangguk apabila ditanya jurubahasa mahkamah sama ada dia "okey".

Dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan merogol gadis itu, iaitu temannya, di rumah sewa ibunya di Putrajaya pada 12.15 tengah hari 19 Oktober 2012.

Remaja itu yang ketika kejadian berusia 17 tahun dan merupakan pelajar Tingkatan Lima, didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Dalam rayuan meringankan hukumannya, anak sulung daripada tiga beradik itu memberitahu mahkamah bahawa dia tidak mengetahui yang perbuatannya itu adalah satu kesalahan merogol dan memohon dihantar ke Sekolah Henry Gurney.

Hakim: Kenapa kamu tidak fikir pada masa itu?

Tertuduh: Sebab saya tidak tahu kes itu adalah rogol.

Hakim: Mengenai kejadian rogol ini, kamu tidak menonton televisyen atau membaca akhbar?

Tertuduh: Saya jarang tengok televisyen kerana saya membuat kerja sambilan di restoran selepas waktu sekolah.

"Saya dah bertaubat, ini kesalahan pertama saya. Ia menjadi pengajaran kepada saya. Saya minta maaf," katanya sambil menangis.

Hakim Emilia kemudian membenarkan tertuduh diikatjamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Dis untuk sebutan bagi mendapatkan laporan akhlak sebelum menjatuhkan hukuman.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Henry Tan. Tertuduh tidak diwakili peguam.

- Bernama

No comments:

Post a Comment

Media Maya Designed by Templateism.com Copyright © 2014

Theme images by Bim. Powered by Blogger.