gambar hiasan
Phnom Penh: “Macam mana, boleh ke (terima) janda anak satu,” demikian tawaran seorang lelaki Kemboja, kepada penulis dan rakan jurugambar ketika berada di Kemboja, baru-baru ini.Lelaki berusia 40-an itu orang kepercayaan seorang lelaki berjubah warga Malaysia yang berada di sampingnya dan sebelum itu ditemui penulis secara tidak sengaja sebaik mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh.
Lelaki Malaysia itu berkopiah putih dan berusia lingkungan 60-an mendekati kami ketika menanti giliran pemeriksaan di kaunter imigresen di lapangan terbang berkenaan.
Mahu dikenali sebagai Halim, lelaki itu pada mulanya menceritakan mengenai segelintir warga Malaysia melakukan kerja amal di Kemboja sebelum beralih kepada topik ‘sambil menyelam minum air’. “Sebenarnya mudah untuk lelaki Malaysia yang datang ke sini kahwin dengan wanita Muslim Cham. Orang kita (Malaysia) ‘berpangkat’ (kaya), manakala wanita Muslim Cham serba kekurangan selain memerlukan bantuan,”
katanya. Halim kemudian memberitahu dia boleh menjadi jurunikah, malah jika sukar dapat saksi, dia boleh mencarikan saksi selain pernikahan boleh dilakukan di mana-mana saja termasuk di hotel di bandar ini.Dia mendakwa ramai lelaki Malaysia datang melakukan kerja kebajikan di Kemboja, mengambil kesempatan menambah ‘cawangan’ tanpa pengetahuan isteri.
“Tidak salah berkahwin lebih daripada satu atau berpoligami, tetapi perlu melakukan dengan syarat termasuk memastikan isteri baru dikahwini dibela.“Suami sebenarnya tidak perlu meminta keizinan daripada isteri berkahwin lagi, tetapi ia bukan galakan mengahwini wanita tanpa mengetahui tanggungjawab berat perlu dipikul.
“Saya dan rakan boleh menikahkan sesiapa saja yang berhasrat untuk berkahwin dengan wanita Cham, termasuk menyediakan saksi dan pelbagai kemudahan lain,” katanya yang mendakwa menguruskan sebuah sekolah agama di Malaysia.
Apa yang menjadi tanda tanya Halim mendakwa lebih 15 tahun berada di Malaysia itu mengakui belum berkahwin, tetapi beria-ria menggalakkan warga Malaysia berpoligami atau menikahi wanita Cham. Malah, dia turut menawarkan kepada penulis untuk menikahi seorang wanita warga Muslim Cham yang didakwanya hafal al-Quran, kononnya dengan tujuan membantu meringankan kesempitan hidup wanita itu.
“Jika anda berminat, cukup mudah untuk mendapatkannya tanpa pengetahuan isteri di Malaysia,” katanya, namun tidak menyatakan jumlah wang yang perlu disediakan.Sebelum berpisah, Halim mempelawa kami ke hotel penginapannya jika ingin mendapatkan maklumat lanjut atau berhasrat mengahwini wanita Muslim Cham. Keesokannya penulis menghubungi Halim dan dia mengarahkan ‘pembantunya’ menjemput penulis dan jurugambar di hotel selepas Maghrib.
Tempoh perjalanan hampir setengah jam itu kemudian membawa kami ke sebuah hotel berdepan Sungai Mekong dan dipertemukan kembali dengan Halim selain beberapa lelaki berkopiah.Selepas hampir 10 minit berbual, kami kemudian dibawa ‘orang kepercayaan’ Halim menaiki kenderaan sebelum ditanya sama ada sudah bersedia untuk berjumpa dengan seorang janda beranak satu.
Kami terkejut, malah tidak menyangka lelaki yang sentiasa berhubung melalui telefon bimbit menggunakan bahasa Cham itu, terus menawarkan wanita Cham.Kami diajak menikmati makan malam di sebuah restoran di tengah bandar untuk dipertemukan dengan seorang individu yang dikatakan waris wanita Cham yang ingin dijodohkan dengan kami. Bagaimanapun, pertemuan itu tidak menjadi kenyataan apabila restoran itu tutup, sebelum kami dihantar semula ke depan hotel.
No comments:
Post a Comment